moga2 barokah mendahului...

Monday, January 11, 2016

AnUGerAH TeRIndAh DarI DIA



Hidup tidak selalunya indah,
Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang,
Itulah suratan alam,
Begitu aturan Tuhan.

Sememangnya dalam hidup ini kita tidak akan selalu di atas, adakalanya bumi akan berputar, ada masanya kita pula akan berada di bawah. Kalau kita rasa sedih, memang kita akan menangis walaupun cuba ditahan kerana kita hanya insan yang lemah, namun selepas itu ingatlah diluar itu lagi ramai insan yang lagi sedih daripada kita, kesedihan mereka lagi besar daripada kesedihan kita. Lumrah manusia itu seorang yang lemah, namun yakinlah andai kita berpegang teguh pada janji Allah, kita akan mampu menghadapi segala apa jua rintangan.

Tidak lepas juga dengan diri ini, sentiasa mudah rapuh dengan dugaan yang menjengah. Terkadang pernah terasa hendak melarikan diri dari semua, tapi sampai bila? Masalah tidak akan pernah selesai dengan hanya melarikan diri.

Demam final dah kian surut. Alhamdulillah selesai sudah 4 paper untuk semester ini.Buat semua yang masih belum habis, gunakanlah peluang, ruang masa yang ada dengan sebaiknya. Andai rasa lelah, ingatlah insan- insan yang sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk kita.Ya, memang ada satu tahap kita akan rasa down, nak berhenti namun fikir-fikirkanlah adakah itu yang paling terbaik. Ramai yang mengeluh:

“Uh, camne erk nak studi tuk jadi dean list?”

“Susahla, macam mana nak studi nim?”

“Penatlah, lecturer nim macam2 keje dia bagi, ingat aku xde keje lain ke?”

Saya selalu juga mengeluh. Lumrah manusia.Tapi selepas itu saya akan bayangkan kesusahan ayah bekerja dibawah terik matahari, mahupun ketika hujan lebat. Walaupun ayah demam, walaupun kaki ayah sakit tapi ayah tetap bekerja, agar saya dan keluarga mampu hidup. Ayah tetap setia dengan motosikalnya untuk ke mana-mana. Dia tidak pernah berkira dengan anak-anaknya, meskipun jika untuk membeli untuk dirinya dia sangatlah kedekut. Tapi jika untuk anak-anaknya dia akan usahakan seboleh yang mungkin. 

Mana mungkin saya mungkin mampu mengeluh sedangkan saya hari-hari belajar dalam aircond, dalam keadaan yang cukup selesa, saya cuma hanya perlu berfikir, menghafal tanpa menggunakan kudrat saya sedikit pun. Saya tak perlu fikir pom soal duit untuk bayar bil, untuk perbelanjaan harian. Saya cuma hanya perlu belajar, dan seandainya untuk itupun saya tak mampu, saya selalu mengeluh, mungkin tak layak untuk saya bergelar seorang manusia. Kerana Allah kurniakan saya akal untuk saya berfikir, agar saya belajar. Dan itulah satu-satunya beza antara penciptaan manusia dan binatang. Akal.


Allahu, setiapkali terfikirkan itu, saya akan tersentap sendirian. Dialah ayah yang paling terbaik untuk saya. Alhamdulillah, Allah sudi kurniakan ayah sebaik itu untuk insan yang lemah ini.Kerana kurniaan terindah Allah itulah, saya masih mampu berdiri di sini. Berdiri sebagai diri saya sendiri. Ya, andai ada yang bertanya, itulah rahsia saya. Pegangan saya. Tak kisahlah ape pom orang nak kata, orang tak rasa apa yang kita rasa. 

Cukuplah Allah sebagai saksi. #Palestin wait for me. Wallahualam.

Saturday, January 2, 2016

TIGA



Alhamdulillah, duit itu cukup untuk membeli beberapa kilogram beras. Dia tersenyum. Walaupun jauh disudut hatinya, dia sedih kerana hasratnya tidak tercapai namun kesedihan itu tidaklah sebesar mana dibandingkan dengan kegembiraan yang dirasakan sekarang. Sekurang-kurangnya dia dapat membantu sesuatu. Dia tahu ayahnya terpaksa melakukan itu. Dia sentiasa faham itu.

Sebaik sahaja kakinya menapak ke dorm, lantas dia membuka plastik yang diberikan ayah tadi. Hujan-hujan macam ni mudah terasa lapar, bekalan biskut di dalam locker semakin berkurang namun dia tidak mahu menyusahkan ayahnya lagi. Matanya terpacak pada bungkusan nasi di dalam plastik tadi, dia tersengih. Dia tahu emaknya tidak pernah lupa untuk mengirimkan nasi, selalu saja ada kiriman makanan dari rumah hinggakan ramai kawan-kawan yang mengatakan cemburu dengannya. Ibu bapa diorang selalu datang melawat dengan membawa makanan dari luar ataupun bekalan biskut-biskut sahaja kerana tak sempat untuk memasak. Kadang-kadang pernah juga dia mengajak ahli dormnya makan bersama. Bukan main gembira diorang bila di ajak.

“Marilah makan, tapi masakan kampung jelah ye.” Sekelip mata sahaja ketiga-tiga ahli dormnya sudah berada dihadapannya.

“Takpe, emak kau masak sedap weyh. Aku suka. Beruntung kau dapat emak macam tu.” Dia tersenyum cuma. Ya, memang dia bertuah kerana memiliki seorang emak yang sentiasa ingat pada keadaan dia, y sentiasa fikir sama ada dia kenyang atau lapar, sama ada dia sihat atau sakit. Sejak dari sekolah rendah dia dah terbiasa membawa bekal makanan ke sekolah. Tambahan, itu adalah salah satu cara dia untuk berjimat.


Tapi kali ni dia cuma berseorang sahaja di dorm. Yang lain semua keluar bandar, mencari bekalan masing-masing. Dia sahaja yang mengambil keputusan untuk tidak keluar memandangkan duit yang tidak mencukupi. Usai sahaja makan, dia bergerak ke meja, sambung menelaah buku. Dia cukup risau andai dia tidak dapat menjawab dengan baik semasa peperiksaan nanti. Dia mahu membanggakan kedua orang tuanya. Oleh itu, masa yang ada cuba digunakan dengan sebaiknya. 


-bersambung-

YA ALLAH, SEMOGA AKU TETAP ISTIQOMAH

YA ALLAH, SEMOGA AKU TETAP ISTIQOMAH!!!



Hari ini aku begitu letih
Lemah,
Lesu,
Dan longlai.....
Ya Allah....sampai bila akan terus seperti ini ?
Fajar pagi pun telah datang
Namun tubuhku tetap longlai tak bergerak
Kesalahan apa yang telah ku perbuat?
Sehingga aku harus menderita seperti ini?
Ya Allah...hari ini aku begitu kecewa
Kenapa aku tak dapat menghadiri majlis-majlis Mu
Sampai bila aku tetap seperti ini?
Dulu...
aku begitu semangat menyerukan KeagunganMu
aku begitu tegar bila orang-orang mencelaku
aku begitu sabar bila Engkau mengujiku
akankah aku tetap seperti itu ketika aku hanya masih berbaring disini?
Ya Allah....apa yang harus aku lakukan?
Mampukah aku bangkit dari tempat ini ?
Sementara aku tahu hidupku tak lama lagi....
Ya Allah....kuatkanlah aku agar tetap Istiqomah
Selalu menyeru jalanMu...
Izinkanlah aku menghabiskan sisa hidup ini dengan selalu berdakwah di jalanMu
Kabulkanlah cita-citaku untuk syahid dibawah panjiMu
Ya Allah....jagalah aku agar tetap Istiqomah...

 Mohon maaf di ats segala salah dan silap. Semoga tahun ini memberikan seribu kekuatan utk meneruskan risalah dakwah ini. InsyaAllah.

Entah kenapa dah lama jari ini tak terasa untuk menaip dan hari ini tiba-tiba terasa ringan untuk membuka laptop.

Allahu, tersentap, alhamdulillah Allah sudi hadirkan seseorang untuk ingatkan diri ini. Allah, sesungguhnya hanya Engkaulah yang memahami, mengenali ciptaan-Mu ini. Tiada yang lain. Meskipun semakin ramai insan yang mencemuh, tapi Engkau tetap ada, Engkau lebih tahu semua. Engkau tahu segala niatku. Walau sepayah manapun perjalanan ini, mana mungkin diri ini bisa mengundur, sedangkan semakin hari kian terasa tanggungjawab ini semakin berat. Aku adalah harapan agama, harapan keluarga tercinta,dan aku harus buktikan itu. Seorang engineer Islam. Insha Allah, Allah ada.   

Buat sahabat, syukran, syukran, insha Allah hati ini akan sentiasa kuat. Semoga kau juga diberikan kekuatan untuk menempuh hari-hari yang mendatang.Setiap insan itu pasti diberi dengan bermacam-macam ujian yang berbeza-beza. Jadi jangan pernah kita menecemuh orang lain tanpa menegetahui kedaan seseorang itu dulu. Kerana kita bukanlah penghukum malahan kita tidak pernah layak untuk menghakimi. Kita hanyalah hamba dan akan sentiasa menjadi seorang hamba kepada Pencipta.Wallahualam.

Friday, May 8, 2015

DUA





Dia mengambil tempat duduknya. Semua hanya menggelengkan kepala melihat keadaannya yang basah kuyup. Terketar-ketar dia mengeluarkan bekas pensel daripada beg. Nasib baik beg itu tidak basah lantaran dari rumah lagi dia memasukkan begnya ke dalam plastik sebelum diletakkan di dalam raga motosikal.

Hujan yang semakin lebat mencurah ke bumi menghentikan lamunannya. Dia lantas menapak ke depan menuju ke arah ayah yang sedang menunggu. Dari jauh, dia dapat melihat senyuman yang terukir di bibir ayah. Walaupun dia tahu ayah kesejukan, namun ayah masih mampu tersenyum mesra kepadanya. Perlahan dirasakan pipinya basah. Cepat-cepat dikesat. Tidak ingin menangis di depan ayah. Kotak bersaiz beralih tangan. Di dalamnya sarat berisi buku-buku yang tidak mahu digunakan lagi.Hendak dibuang membazir, jadi dia mengambil keputusan untuk membawa balik ke rumah.Mungkin diperlukan nanti.

“Duit ada lagi tak?” Dia mengangguk perlahan. Dia tidak pernah meminta duit lebih melainkan ada kegunaan mendesak. Baginya hidup di asrama tidak memerlukan begitu banyak duit untuk belanja harian kerana makan pagi, tengahari, petang, malam sudah disediakan. Dia sendiri jarang-jarang sekali keluar ke bandar.

Hujan semakin reda. Dia lantas menyalami ayah sebelum melangkah balik ke asrama. Tidak jauh mana dia melangkah, bunyi motosikal ayah membuatkan dia berpaling. Dia hanya melihat ayah semakin bergerak jauh meninggalkannya. Motosikal itu sudah banyak berjasa kepada dia dan keluarganya. Sejak dari dia dilahirkan, sehinggalah sekarang dengan motosikal itulah dia bergerak. Ke bandar untuk membeli barang dengan motosikal itu, waima untuk ke klinik sekalipun dengan motosikal itu. Pernah juga dia merasa cemburu melihat keluarga lain yang selesa dengan kereta yang besar, mewah tapi dia tahu ayahnya sentiasa berikan yang terbaik untuk dia dan keluarga. Andaikata dia memiliki kehidupan yang mewah tapi hidupnya tidak sebebas sekarang, sentiasa terkongkong dia tahu dia tak akan bahagia kerana dia bukan jenis yang suka di atur. Dia paling benci jika hidupnya dikongkong. Baginya setiap insan mempunyai hak untuk bersuara, untuk merasakan kebebasan. Dia bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang tidak pernah mengatur hidupnya, yang sentiasa memberinya peluang untuk membuat pilihan.


Dia menapak masuk ke dalam kawasan asrama sebaik ayah hilang dari pandangan. Azamnya cuma satu, dia mahukan yang terbaik untuk ma, ayah yang dah terlalu banyak berkorban untuknya. Mindanya menggamit satu memori sewaktu dia masih kecil. Sekitar berusia 6 tahun. Sewaktu itu ayah tak cukup duit, tambahan waktu itu bekalan beras di rumah sudah habis. Kebetulan sewaktu itu dia ada menabung, wang lebihan harian. Setiap pagi sebelum pergi tadika, dia akan diberi 50 sen. Jarang-jarang dia menggunakan wang itu, dia lebih suka meletakkannya di dalam tabung. Menabung itu amalan mulia, sejak dari kecil dia berangan-angan untuk memiliki kamera sendiri. Meminta dari ayah tidak mungkin, jadi dia mengambil inisiatif untuk menabung. Namun mungkin hasratnya harus diketepikan dahulu, dia lantas menghulurkan tabung itu kepada ayah. Tabungnya dipecahkan. Dia hanya mendiamkan diri. Kamera impiannya harus dilupakan.  


-Bersambung-