moga2 barokah mendahului...

Friday, May 8, 2015

DUA





Dia mengambil tempat duduknya. Semua hanya menggelengkan kepala melihat keadaannya yang basah kuyup. Terketar-ketar dia mengeluarkan bekas pensel daripada beg. Nasib baik beg itu tidak basah lantaran dari rumah lagi dia memasukkan begnya ke dalam plastik sebelum diletakkan di dalam raga motosikal.

Hujan yang semakin lebat mencurah ke bumi menghentikan lamunannya. Dia lantas menapak ke depan menuju ke arah ayah yang sedang menunggu. Dari jauh, dia dapat melihat senyuman yang terukir di bibir ayah. Walaupun dia tahu ayah kesejukan, namun ayah masih mampu tersenyum mesra kepadanya. Perlahan dirasakan pipinya basah. Cepat-cepat dikesat. Tidak ingin menangis di depan ayah. Kotak bersaiz beralih tangan. Di dalamnya sarat berisi buku-buku yang tidak mahu digunakan lagi.Hendak dibuang membazir, jadi dia mengambil keputusan untuk membawa balik ke rumah.Mungkin diperlukan nanti.

“Duit ada lagi tak?” Dia mengangguk perlahan. Dia tidak pernah meminta duit lebih melainkan ada kegunaan mendesak. Baginya hidup di asrama tidak memerlukan begitu banyak duit untuk belanja harian kerana makan pagi, tengahari, petang, malam sudah disediakan. Dia sendiri jarang-jarang sekali keluar ke bandar.

Hujan semakin reda. Dia lantas menyalami ayah sebelum melangkah balik ke asrama. Tidak jauh mana dia melangkah, bunyi motosikal ayah membuatkan dia berpaling. Dia hanya melihat ayah semakin bergerak jauh meninggalkannya. Motosikal itu sudah banyak berjasa kepada dia dan keluarganya. Sejak dari dia dilahirkan, sehinggalah sekarang dengan motosikal itulah dia bergerak. Ke bandar untuk membeli barang dengan motosikal itu, waima untuk ke klinik sekalipun dengan motosikal itu. Pernah juga dia merasa cemburu melihat keluarga lain yang selesa dengan kereta yang besar, mewah tapi dia tahu ayahnya sentiasa berikan yang terbaik untuk dia dan keluarga. Andaikata dia memiliki kehidupan yang mewah tapi hidupnya tidak sebebas sekarang, sentiasa terkongkong dia tahu dia tak akan bahagia kerana dia bukan jenis yang suka di atur. Dia paling benci jika hidupnya dikongkong. Baginya setiap insan mempunyai hak untuk bersuara, untuk merasakan kebebasan. Dia bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang tidak pernah mengatur hidupnya, yang sentiasa memberinya peluang untuk membuat pilihan.


Dia menapak masuk ke dalam kawasan asrama sebaik ayah hilang dari pandangan. Azamnya cuma satu, dia mahukan yang terbaik untuk ma, ayah yang dah terlalu banyak berkorban untuknya. Mindanya menggamit satu memori sewaktu dia masih kecil. Sekitar berusia 6 tahun. Sewaktu itu ayah tak cukup duit, tambahan waktu itu bekalan beras di rumah sudah habis. Kebetulan sewaktu itu dia ada menabung, wang lebihan harian. Setiap pagi sebelum pergi tadika, dia akan diberi 50 sen. Jarang-jarang dia menggunakan wang itu, dia lebih suka meletakkannya di dalam tabung. Menabung itu amalan mulia, sejak dari kecil dia berangan-angan untuk memiliki kamera sendiri. Meminta dari ayah tidak mungkin, jadi dia mengambil inisiatif untuk menabung. Namun mungkin hasratnya harus diketepikan dahulu, dia lantas menghulurkan tabung itu kepada ayah. Tabungnya dipecahkan. Dia hanya mendiamkan diri. Kamera impiannya harus dilupakan.  


-Bersambung-