moga2 barokah mendahului...

Friday, May 8, 2015

DUA





Dia mengambil tempat duduknya. Semua hanya menggelengkan kepala melihat keadaannya yang basah kuyup. Terketar-ketar dia mengeluarkan bekas pensel daripada beg. Nasib baik beg itu tidak basah lantaran dari rumah lagi dia memasukkan begnya ke dalam plastik sebelum diletakkan di dalam raga motosikal.

Hujan yang semakin lebat mencurah ke bumi menghentikan lamunannya. Dia lantas menapak ke depan menuju ke arah ayah yang sedang menunggu. Dari jauh, dia dapat melihat senyuman yang terukir di bibir ayah. Walaupun dia tahu ayah kesejukan, namun ayah masih mampu tersenyum mesra kepadanya. Perlahan dirasakan pipinya basah. Cepat-cepat dikesat. Tidak ingin menangis di depan ayah. Kotak bersaiz beralih tangan. Di dalamnya sarat berisi buku-buku yang tidak mahu digunakan lagi.Hendak dibuang membazir, jadi dia mengambil keputusan untuk membawa balik ke rumah.Mungkin diperlukan nanti.

“Duit ada lagi tak?” Dia mengangguk perlahan. Dia tidak pernah meminta duit lebih melainkan ada kegunaan mendesak. Baginya hidup di asrama tidak memerlukan begitu banyak duit untuk belanja harian kerana makan pagi, tengahari, petang, malam sudah disediakan. Dia sendiri jarang-jarang sekali keluar ke bandar.

Hujan semakin reda. Dia lantas menyalami ayah sebelum melangkah balik ke asrama. Tidak jauh mana dia melangkah, bunyi motosikal ayah membuatkan dia berpaling. Dia hanya melihat ayah semakin bergerak jauh meninggalkannya. Motosikal itu sudah banyak berjasa kepada dia dan keluarganya. Sejak dari dia dilahirkan, sehinggalah sekarang dengan motosikal itulah dia bergerak. Ke bandar untuk membeli barang dengan motosikal itu, waima untuk ke klinik sekalipun dengan motosikal itu. Pernah juga dia merasa cemburu melihat keluarga lain yang selesa dengan kereta yang besar, mewah tapi dia tahu ayahnya sentiasa berikan yang terbaik untuk dia dan keluarga. Andaikata dia memiliki kehidupan yang mewah tapi hidupnya tidak sebebas sekarang, sentiasa terkongkong dia tahu dia tak akan bahagia kerana dia bukan jenis yang suka di atur. Dia paling benci jika hidupnya dikongkong. Baginya setiap insan mempunyai hak untuk bersuara, untuk merasakan kebebasan. Dia bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang tidak pernah mengatur hidupnya, yang sentiasa memberinya peluang untuk membuat pilihan.


Dia menapak masuk ke dalam kawasan asrama sebaik ayah hilang dari pandangan. Azamnya cuma satu, dia mahukan yang terbaik untuk ma, ayah yang dah terlalu banyak berkorban untuknya. Mindanya menggamit satu memori sewaktu dia masih kecil. Sekitar berusia 6 tahun. Sewaktu itu ayah tak cukup duit, tambahan waktu itu bekalan beras di rumah sudah habis. Kebetulan sewaktu itu dia ada menabung, wang lebihan harian. Setiap pagi sebelum pergi tadika, dia akan diberi 50 sen. Jarang-jarang dia menggunakan wang itu, dia lebih suka meletakkannya di dalam tabung. Menabung itu amalan mulia, sejak dari kecil dia berangan-angan untuk memiliki kamera sendiri. Meminta dari ayah tidak mungkin, jadi dia mengambil inisiatif untuk menabung. Namun mungkin hasratnya harus diketepikan dahulu, dia lantas menghulurkan tabung itu kepada ayah. Tabungnya dipecahkan. Dia hanya mendiamkan diri. Kamera impiannya harus dilupakan.  


-Bersambung-

Saturday, April 25, 2015

sorry, i forever can't be a perfect

"Erm, mungkin dia tak tahu betapa kita risaukan dia. Atau mungkin juga dia terlalu gembira, sibuk kat luar sana sampai tak sempat untuk menghantar walau sekeping mesej yang menyatakan dia okay."

Ataupun mungkin kita yang terlalu risau hingga tanpa kita perasan kita dah terlalu banyak menyibuk dalam urusan dia.

Mungkin inilah perasaan yang mak kita rasa sewaktu kita jauh dari keluarga, sewaktu kita keluar ke mana-mana. Tapi kita sentiasa cakap takpelah aku dah besar, tak kan semua benda nak kena bagi tahu kat mereka. Tapi itulah naluri seorang mak yang akan sentiasa risaukan anaknya. Di dunia ni Allah ciptakan pelbagai jenis orang, ada yang berfikiran terbuka, ada yang hanya mengikut pendapat sendiri tanpa memikirkan orang lain.

Terkadang kita mungkin mengeluh, susahnya nak memahami dan menerima sikap dan perangai seseorang namun bila di renung balik itulah cara Allah untuk buat kita lagi belajar, belajar untuk menjadi seorang hamba yang penyabar. Allah, sampai begitu sekali Allah nak kita belajar, sayangnya Dia pada kita, walaupun kita selalu sahaja lupakan Dia waktu kita senang tapi Dia tak pernah berhenti mengajar kita sesuatu.



Friday, April 24, 2015

SATU





Dia sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik,
Walaupun kadang-kadang begitu ramai insan yang hampir membuat semangatnya luntur,
Namun, dia tetap bangun, cuba untuk berikan yang terbaik,
Dia tahu dia bukanlah insan yang sempurna,
Namun begitu dia juga tahu dibahunya terpikul satu amanah yang sangat besar, satu harapan yang sentiasa menjadi kebanggaan keluarganya,
Dia tahu andai satu langkah dia tersasar banyak hati yang akan dikecewakan…

Inilah kisah tentang dia… Dia yakin dia pasti mampu

Sejak dari kecil, dia menjadi kebanggaan keluarga, dia sentiasa tersenyum, puas apabila melihat orang-orang yang dia sayangi tersenyum melihat pencapaiannya. Dulu sewaktu dia kecil, setiap kali melihat orang ramai di bandar, dia teringin untuk ke bandar bersama-sama dengan semua ahli keluarga, naik satu kereta, makan, membeli sama-sama. Indahnya saat itu, dia dapat melihat orang-orang di hadapannya ketawa riang. Namun, dia tahu, dia akan kecewa, dia tidak pernah punyai kesempatan itu, kereta pun tak ada, apatah lagi masa untuk semua ahli keluarganya berkumpul. Tapi dia tak pernah salahkan sesiapa, dia tahu ayahnya sudah terlalu banyak berkorban untuk dia dan keluarga. Ayah korbankan masa, keinginan, tenaga semata-mata untuk menjaga mereka.

Mungkin tak ramai yang mampu memahami perasaan dia, sejak dia mula-mula masuk sekolah, bermacam-macam jenis orang yang dia jumpa. Ada yang sombong, biasalah anak orang berada, selalu rasa dia punya semuanya, ada yang baik hati dan peramah. Dia sudah tebiasa dengan semua keadaan itu.

Hari ini hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah menengah, setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dia mendapat tempat di sekolah menengah berasrama. Pertama kali, air mata dia menitis tatkala melihat ibu dan adik-adiknya pulang setelah menghantarnya ke asrama. Mujur bapa saudaranya berkelapangan untuk menghantarnya ke asrama, dengan beg-beg yang banyak tidak mungkin ayah mahu menghantarnya dengan motosikal. Hari-hari seterusnya dilalui dengan bermacam-macam dugaan. Pernah satu hari, dia tertinggal kunci loker di dalam loker. Sudahnya seharian suntuk dia tidak boleh mandi mahupun menukar pakaian hinggalah pengawal datang untuk memecahkan manga loker tersebut.

Sedar tak sedar, dah hampir lima tahun dia berada di situ, tinggal beberapa minggu sahaja lagi dia akan menduduki peperiksaan SPM. Sudah ramai pelajar yang mula mengemas-ngemas barang mereka untuk dibawa pulang. Dia sendiri sedang mengemas, malam ini dia akan mengirim satu kotak barang kepada ayah untuk dibawa pulang.Dia mesti membawa barang balik ke rumah secara beransur- ansur kerana kali ini bapa saudaranya tidak dapat datang untuk mengambilnya.

Sebaik sahaja mendengar namanya dilaungkan di speaker perlahan-lahan dia mengangkut kotaknya ke pondok pengawal. Kelihatan ayah sedang berdiri di tepi pondok pengawal. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Dia terdiam seketika, dia sempat melihat ayah tergopoh-gapah menarik motosikal ke bawah pondok pengawal. Basah kuyup ayah, dia terhenti di situ. Mindanya terbang ke satu kenangan dulu.

Waktu itu dia darjah enam. Seperti biasa murid darjah enam sentiasa penuh dengan kelas tambahan, motivasi. Hampir dikatakan tiap-tiap malam dia ada kelas tambahan. Malam itu hujan lebat, dia dah bersiap-siap untuk ke kelas tambahan. Nasib baiklah hujan tak lama, cepat-cepat dia dan ayah menuju ke sekolah dengan motosikal. Siapa sangka tak lama lepas itu, hujan turun lagi dengan lebatnya. Basah kuyup dia sewaktu sampai ke sekolah, mulanya dia segan untuk masuk, mahu sahaja balik ke rumah bersama ayahnya, tapi ayah memimpin tangannya ke kelas.

“Cikgu, maaf kami lambat sikit, tadi hujan lebat.” Ayah memohon maaf.Dia hanya membatukan diri. Dia dapat merasakan semua mata sedang memandang ke arahnya.


-Bersambung- 

Tuesday, April 21, 2015

Allahuakbar!!!

Islam itu indah. Allahuakbar!!! kadang-kadang kita rasa kita sorang-sorang tapi kita lupa Allah sentiasa ada. Bila kita sedih, bila kita susah hati , bila semua manusia pandang serong pada kita tapi Allah tetap ada, setiap kali kita rasa kita sunyi, sujudlah kepada Dia, kita akan rasa tenang yang kita sendiri tak dapat nak jangka.

Kita semua manusia biasa, yang tak mungkin tak pernah buat silap tapi kita sentiasa ada peluang untuk berubah. Kita sentiasa ada kesempatan untuk memperbaiki selagi masih diberikan nyawa, kudrat untuk terus berjalan. Perjalanan kita masih jauh ke hadapan, jatuh tersungkur itu bukanlah penghalang mahupun alasan namun itulah kekuatan.

Memang tak mudah untuk bangun lagi tapi itulah yang akan mengajar kita erti untuk menjadi kuat, menjadi seorang manusia yang teguh keyakinan.

Kadang-kadang kita cemburu melihat burung-burung yang bebas terbang di angkasa raya, kita ingin merasakan kebebasan itu. Tapi tanpa kita sedari, di sebalik kebebasan itu terkandung seribu kegelisahan yang mebuatkan burung-burung itu sentiasa berjaga-jaga. Tanpa mereka sedari mungkin terdapat pemburu yang sedang memburu mereka. Tapi kita sebagai manusia tak pernah bersyukur, sentiasa ada sesuatu yang membuatkan kita rasa tak cukup. Allah... seandainya kita ditakdirkan hidup sebagai burung, tak tahulah bagaimana keadaan kita. Hidup tak pernah tenang, sentiasa di buru kegelisahan,,,


Wallahualam.

Saturday, January 10, 2015

#fursan keinsafan diri

Di saat yang sepi ini,
Ku duduk seorang diri,
Memohon keampunan,
Dari Ilahi..

Bak lautan bergelombang,
Siang malam pagi juga petang,
Mengharapkan ketenangan,
Dari Tuhan yang Esa..

Betapa rimbunnya dosaku,
Semua terlakar di lembah usiaku,
Salah dan silap di masa yang lalu..
Kini ku sesali..

Ku tidak layak ke syurga-Mu,
Namun tak sanggup ke neraka-Mu,
Ku tunduk sujud merendah diri,
Kembali pada-Mu

Ku tetap setia,
Pada-Mu oh Tuhanku,
Akanku patuhi segala,
Suruhan-Mu..

Akanku jauhi...
Segala larangan-Mu,
Itulah tanda cinta...
Cinta Ilahi..

 diri ini terlalu rapuh, tanpa kita sedar kita sering buat kesilapan kerana itulah lumrah insan yang selalu pelupa,,,Allah,,, ampunkan kami,,, mungkin terkadang kita terlalu asyik dengan hal dunia, sampaikan panggilan Allah pun kita hampir terlupa... Allahuakbar!!! mungkin kita rasa kita dah bahagia sampai kadang2 kita lupa utk berkongsi bahagia itu dengan orang laen... 
#Cukuplah ALLAH sebagai saksi
#Palestin, wait for me!!!