moga2 barokah mendahului...

Friday, April 24, 2015

SATU





Dia sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik,
Walaupun kadang-kadang begitu ramai insan yang hampir membuat semangatnya luntur,
Namun, dia tetap bangun, cuba untuk berikan yang terbaik,
Dia tahu dia bukanlah insan yang sempurna,
Namun begitu dia juga tahu dibahunya terpikul satu amanah yang sangat besar, satu harapan yang sentiasa menjadi kebanggaan keluarganya,
Dia tahu andai satu langkah dia tersasar banyak hati yang akan dikecewakan…

Inilah kisah tentang dia… Dia yakin dia pasti mampu

Sejak dari kecil, dia menjadi kebanggaan keluarga, dia sentiasa tersenyum, puas apabila melihat orang-orang yang dia sayangi tersenyum melihat pencapaiannya. Dulu sewaktu dia kecil, setiap kali melihat orang ramai di bandar, dia teringin untuk ke bandar bersama-sama dengan semua ahli keluarga, naik satu kereta, makan, membeli sama-sama. Indahnya saat itu, dia dapat melihat orang-orang di hadapannya ketawa riang. Namun, dia tahu, dia akan kecewa, dia tidak pernah punyai kesempatan itu, kereta pun tak ada, apatah lagi masa untuk semua ahli keluarganya berkumpul. Tapi dia tak pernah salahkan sesiapa, dia tahu ayahnya sudah terlalu banyak berkorban untuk dia dan keluarga. Ayah korbankan masa, keinginan, tenaga semata-mata untuk menjaga mereka.

Mungkin tak ramai yang mampu memahami perasaan dia, sejak dia mula-mula masuk sekolah, bermacam-macam jenis orang yang dia jumpa. Ada yang sombong, biasalah anak orang berada, selalu rasa dia punya semuanya, ada yang baik hati dan peramah. Dia sudah tebiasa dengan semua keadaan itu.

Hari ini hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah menengah, setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dia mendapat tempat di sekolah menengah berasrama. Pertama kali, air mata dia menitis tatkala melihat ibu dan adik-adiknya pulang setelah menghantarnya ke asrama. Mujur bapa saudaranya berkelapangan untuk menghantarnya ke asrama, dengan beg-beg yang banyak tidak mungkin ayah mahu menghantarnya dengan motosikal. Hari-hari seterusnya dilalui dengan bermacam-macam dugaan. Pernah satu hari, dia tertinggal kunci loker di dalam loker. Sudahnya seharian suntuk dia tidak boleh mandi mahupun menukar pakaian hinggalah pengawal datang untuk memecahkan manga loker tersebut.

Sedar tak sedar, dah hampir lima tahun dia berada di situ, tinggal beberapa minggu sahaja lagi dia akan menduduki peperiksaan SPM. Sudah ramai pelajar yang mula mengemas-ngemas barang mereka untuk dibawa pulang. Dia sendiri sedang mengemas, malam ini dia akan mengirim satu kotak barang kepada ayah untuk dibawa pulang.Dia mesti membawa barang balik ke rumah secara beransur- ansur kerana kali ini bapa saudaranya tidak dapat datang untuk mengambilnya.

Sebaik sahaja mendengar namanya dilaungkan di speaker perlahan-lahan dia mengangkut kotaknya ke pondok pengawal. Kelihatan ayah sedang berdiri di tepi pondok pengawal. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Dia terdiam seketika, dia sempat melihat ayah tergopoh-gapah menarik motosikal ke bawah pondok pengawal. Basah kuyup ayah, dia terhenti di situ. Mindanya terbang ke satu kenangan dulu.

Waktu itu dia darjah enam. Seperti biasa murid darjah enam sentiasa penuh dengan kelas tambahan, motivasi. Hampir dikatakan tiap-tiap malam dia ada kelas tambahan. Malam itu hujan lebat, dia dah bersiap-siap untuk ke kelas tambahan. Nasib baiklah hujan tak lama, cepat-cepat dia dan ayah menuju ke sekolah dengan motosikal. Siapa sangka tak lama lepas itu, hujan turun lagi dengan lebatnya. Basah kuyup dia sewaktu sampai ke sekolah, mulanya dia segan untuk masuk, mahu sahaja balik ke rumah bersama ayahnya, tapi ayah memimpin tangannya ke kelas.

“Cikgu, maaf kami lambat sikit, tadi hujan lebat.” Ayah memohon maaf.Dia hanya membatukan diri. Dia dapat merasakan semua mata sedang memandang ke arahnya.


-Bersambung- 

No comments:

Post a Comment