moga2 barokah mendahului...

Sunday, May 13, 2012

selamatkan bumi Ilahi





SELAMATKAN BUMI ILAHI
Uj melepaskan pandangan jauh ke hadapan.Dia menggeliat perlahan sambil menghirup udara segar sekaligus menghembuskan gas karbon dioksida yang berlebihan di dalam badannya.Sungguh indah dan tenang suasana ini.Uj melihat sekeliling.Ternyata rakan-rakan yang lain juga sedang melakukan hal yang sama seperti dirinya.Um,Un, dan Us hanya tersenyum memandang ke arahnya.
“Uj.”Serentak mereka berempat berpaling.Kelihatan Uz  sedang berlari ke arah mereka.Nafasnya tercungap-cungap.
“Kenapa ini?”Un semakin tidak sabar melihat Uz yang tidak berkata apa-apa.
“Kalau ya pun,biarlah Uz bernafas dulu.”Uj cuba menenangkan.Kasihan juga dia melihat muka Uz yang sudah pucat itu.Menahan lelah.Pastinya sudah lama dia berlari.Um mengambil sedikit air untuk diberikan kepada Uz.
Sudah lama mereka berkawan dengan Uz.Uz merupakan seekor rama-rama yang cantik.Sejak kecil lagi Uz memang selalu bermain di kawasan Uj,Um,Un dan Us tinggal.Jadi kalau ada apa-apa yang berlaku Uz yang akan memberitahu mereka kerana mereka jarang keluar dari tempat itu.Keadaan di luar terlalu bahaya buat empat ekor anak semut itu untuk bermain.
“Mereka akan musnahkan tempat ini.Kita semua akan mati.”Uz akhirnya bersuara.Mereka semua terdiam seketika.Kalau tempat ini musnah,di mana mereka semua akan tinggal?
“Siapa mereka sebenarnya?Kenapa mereka hendak musnahkan tempat kita?”Un masih belum berpuas hati.
“Entahlah,aku juga tidak beberapa mengenali mereka semua.Cuma yang aku tahu mereka semua mempunyai badan yang besar dan tinggi.Sangat berbeza daripada kita semua.Mereka hidup dalam suasana saling mementingkan diri sendiri.Mereka gemar sekali bergaduh meskipun hanya kerana perkara-perkara yang tidak penting.Hanya itulah yang aku dengar daripada kawan-kawan di tempat aku tinggal.”Ujar Uz.
“Kejam sungguh mereka semua.Inikan bumi Allah.Tidak bolehkah mereka memberi kita sedikit ruang?”
“Habis itu sekarang apa yang kita hendak lakukan?”
“Kita hanya mampu berdoa kepada-Nya moga-moga dilembutkan hati mereka semua.”Akhirnya Uj bersuara.Mereka semua mengangguk.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Richard,esok kita akan mulakan penebangan hutan itu.”Richard hanya mendiamkan diri.Langsung tiada sebarang respons yang diberikan.Bukan apa,entahlah sejak akhir-akhir ini jiwanya terasa kosong. Kemewahan yang dimilikinya ternyata langsung tidak memberinya kebahagiaan.Entah apa yang dicari dia sendiri tidak pasti.Yang dia tahu,dia sedang mencari sesuatu.
“Tak mengapalah,Richard.Aku masih ada kerja untuk disiapkan.Kita jumpa dipejabat sahaja esok.”Talian dimatikan.Richard kembali melayan perasaannya.Pelbagai persoalan semakin menghimpit jiwanya.Semakin lama dia terasa semakin sesak.Tumpuannya kepada pemanduan semakin hilang.Tanpa disedari dia hampir melanggar seorang lelaki tua yang sedang melintas jalan.Dia lantas memberhentikan keretanya.
“Maafkan saya pak cik.Pak cik tidak apa-apakah?”Terketar-ketar dia menuturkan kata.
“Alhamdulillah.Pak cik masih lagi sihat.Allahuakbar.Dia masih berikan pak cik peluang untuk terus hidup di bumi-Nya ini.”Richard terkesima.Ada sesuatu seakan membuatkan hatinya sayu.
“Saya hantar pak cik balik?”Dia menarik nafas lega tatkala melihat lelaki tua itu mengangguk.
“Anak ini nak ke mana malam-malam begini?”Richard terdiam.Sebetulnya dia sendiri tidak pasti ke mana arah tujunya.Cuma dia benar-benar ingin menenangkan jiwanya yang sedang kacau.Dia ingin melupakan segalanya buat sementara waktu ini.
“Pak cik tadi saya dengar pak cik sebut Allahuakbar.Apa maksudnya?”Lelaki tua itu hanya tersenyum.
“Allahuakbar.Maksudnya Allah Maha Besar.Allah merupakan Pencipta seluruh alam ini dan Dia jugalah yang mentadbir seluruh alam ini.Pak cik sedih melihat manusia sekarang semakin suka merosakkan alam ini.Sikap tamak haloba menguasai diri mereka menyebabkan mereka menjadi manusia yang angkuh.”
“Tapi selalunya mereka melakukan itu untuk membangunkan sesebuah kawasan.”Richard masih belum puas hati dengan penyataan itu.
“Ya.Benar.Pak cik tidak nafikan itu tapi terfikirkah mereka berapa banyak keluarga binatang yang tinggal di kawasan yang mereka lapangkan.Mereka juga memiliki kehidupan mereka sendiri.Mereka juga mempunyai hak untuk tinggal di bumi ciptaan Allah ini.”Sekali lagi nama itu menggetarkan relung hatinya.
“Encik.”Ketukan cermin dari luar mengejutkannya dari tidur.Dia menggosok-gosokkan matanya.Adakah dia bermimpi?Ke mana lelaki tua itu?Dia turun dari kereta dan melangkah ke hadapan.Seakan ada sesuatu yang menariknya untuk ke sana.Di hadapannya tersergam sebuah masjid yang cukup indah dan menenangkan atmanya.
“Anak.”Richard lantas berpaling.Dia benar-benar terkejut.Wajah lelaki yang berdiri di hadapannya ini persis seperti lelaki tua itu.Lelaki itu hanya tersenyum ke arahnya.
“Pak cik?”
“Ya.”
“Bantu saya pak cik.Bantu saya mengenali Allah.”
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Hey,Richard,kau lewat.Kerja penebangan sudah hampir bermula sebentar saja lagi.”
“Batalkan semua ini.”
“Apa?Kau dah gilakah?”
“Aku kata batalkan semuanya.Pasal kosnya biar aku tanggung.Kau jangan risau.”
“Ta...tapi kenapa?”
“Selamatkan bumi Ilahi.”Richard tersenyum penuh makna lantas menapak pergi.Farid hanya memandang dengan pandangan yang kosong.
Uj,Um,Un,Us dan Uz hanya mampu tersenyum.Mereka lantas bersujud tanda syukur kepada Ilahi.

No comments:

Post a Comment